Pecahkan Orang Melayu, betulkah PAS memperjuangkan Islam ?

Tuesday, August 25, 2009

SOALAN ''Betulkah Pas memperjuangkan Islam'', perlu diajukan kepada orang Melayu, umumnya, dan anggota-anggota Pas, khususnya, sekarang, dan mereka perlu menjawabnya dengan betul dan ikhlas.

Ini adalah kerana dua bahaya besar sedang mengancam negara kita dan jika tersilap langkah boleh menyebabkan negara kita dijajah semula dan ketuanan Melayu lupus di tanah air orang Melayu sendiri.

Dua bahaya besar itu ialah, pertama, kebangkitan semula imperialisme Inggeris-Amerika Syarikat selepas tamatnya Perang Dingin, dan kedua, kebangkitan kaum ulama jumud dan oportunis dalam percaturan politik Islam di negara kita sejak Revolusi Islam Iran bermula dahulu.

Sejak penyingkiran Anwar Ibrahim dari parti dan kerajaan pada September 1998, satu kekeliruan politik yang besar telah berlaku dalam masyarakat Melayu.

Ramai pengulas politik, termasuk pemimpin-pemimpin parti pembangkang, menghuraikan kekeliruan ini kerana pengaruh dan wibawa Anwar Ibrahim didakwa sebagai seorang ahli politik dan pemimpin. Pada fikiran saya, pandangan dan dakwaan ini tidak benar sama sekali.

Mereka yang mengikuti kerjaya politik Anwar Ibrahim dan peristiwa yang menjadikannya sebagai seorang pemimpin tentu tahu bahawa Anwar bukan seorang pentadbir atau pemimpin yang baik.

Semasa beliau menjadi seorang pemimpin dalam UMNO dan kerajaan Barisan Nasional selama enam belas tahun, tidak siapa pun boleh menunjukkan satu jasa beliau yang menonjol sama ada di peringkat negeri atau kebangsaan.

Apa yang jelas, beliau mempunyai dua kebolehan yang tidak ada pada Dr. Mahathir, pengasuh dan pendidik beliau dulu, dan musuh ketat beliau sekarang; iaitu Anwar seorang ahli pidato dan seorang pelakon yang baik!.

Jika Anwar bukan seorang pemimpin dan pentadbir yang hebat, apakah yang menyebabkan kekeliruan politik sekarang? Jawapannya mudah saja; kaum penjajah baru Inggeris-Amerika Syarikat di satu pihak, dan kaum agama jumud yang dipimpin oleh Pas. Di pihak lain.

Kedua-dua tenaga ini telah bergabung dan bersekongkol untuk menghancurkan benteng nasionalisme Malaysia di negara kita, iaitu UMNO umumnya, dan pimpinan Dr Mahathir khususnya.

Di antara kedua-dua gergasi ini terselit segelintir pembela 'hak asasi' dan 'demokrasi', dalam bentuk empat lima kerat peguam yang mempunyai cita-cita yang sama.

Ketiga-tiga kuasa ini, yang telah pun curiga terhadap Dr. Mahathir sejak satu dekad yang lalu, melihat peluang mereka yang keemasan untuk menjatuhkan Dr. Mahathir dan bersama-sama Dr. Mahathir, UMNO sendiri, inilah rahsia ''kekuatan'' Anwar.

Oleh yang demikian, pimpinan UMNO dan kerajaan dan penyokong-penyokong mereka tidak harus membesarkan perkara Anwar, tentang kepandaiannya membohong dan berlakon dan tentang pengaruhnya. mereka harus menumpukan perhatian mereka kepada mengkritik dan mendedahkan dua kumpulan ini, iaitu kaum penjajah baru Inggeris-AS dan kaum jumud Pas.

Mereka harus menggemblengkan tenaga-tenaga patriotik dalam negeri untuk menghancurkan dua musuh bangsa kita ini sekarang. Oleh kerana kedua-dua musuh ini juga bersifat antarabangsa, maka strategi luar kita hendaklah juga menggemblengkan tenaga anti-imperialis dan humanis untuk menumpaskan kedua-dua tenaga anti-kemanusiaan ini.

Gerakan Pas sekarang amat berbahaya kepada orang Melayu kerana tiga sebab. Pertama, mereka menggunakan sentimen Islam untuk mempengaruhi orang Melayu supaya menyokong politik sektarian dan oportunis mereka.

Kedua, fahaman Islam mereka menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenar. Contohnya, teori 'kepimpinan ulama' mereka itu ialah ajaran kaum paderi Kristian pada zaman Pertengahan Eropah dulu, yang ditolak dalam Islam.

Ketiga, fahaman mereka yang menolak patriotisme atau fahaman kebangsaan Malaysia menguntungkan kaum penjajah dan akan menyebabkan Malaysia dijajah semula.

Pas lebih berbahaya daripada kaum penjajah baru dalam ertikata kaum penjajah baru ini lebih mudah dilawan daripada Pas. Pas sukar dilawan oleh kerana ia berselindung di sebalik agama Islam yang suci.

Oleh yang demikian, pimpinan UMNO dan cerdik pandai yang patriotik mestilah menyusun satu strategi yang menyeluruh untuk mengoyakkan topeng agama Pas serta mendedahkannya sebagai kaum oportunis, dan di samping itu, menunjukkan kepada rakyat perjuangan Islam yang sebenar sebagai satu cara hidup.

Untuk menunjukkan ajaran Islam yang sebenar, kita perlu berbalik kepada ajaran Quran sebagai sumber utama dan pokok. Sumber-sumber lain, seperti sejarah (termasuk hadis), falsafah dan sains perlu ditapis oleh sumber utama Quran.

Tidak ada jalan lain untuk menjawab dan meruntuhkan teori, dasar dan hujah-hujah Pas, kecuali dengan berbalik kepada ajaran Quran.

Quran mengajar kita supaya mewujudkan sebuah pimpinan masyarakat yang jujur dan berprinsip, tetapi pimpinan Pas sekarang mengajar rakyat menabur fitnah, berbohong, memaki hamun dan mencarut.

Quran mengajar kita bahawa tidak ada perantaraan antara seseorang individu atau masyarakat dengan Tuhan, tetapi pemimpin-pemimpin Pas melantik diri mereka sebagai ''ulama'' (baca; paderi) yang boleh memberikan kita syurga dan neraka! Pas menganjurkan hukum hudud yang tidak ada, malah ditentang dalam Quran, manakala Quran menyuruh kita memerintah dengan adil dan rahim dan membenarkan undang-undang nasional yang berbeza antara negara dengan negara.

Pas mengasingkan dunia dari akhirat dengan menganjurkan cara hidup yang mundur, beku dan pasif bagi umat Islam, sedangkan Quran menganjurkan cara hidup yang aktif, dinamik dan maju tanpa mengasingkan dunia dan akhirat.

Pas mendiskriminasi antara kaum lelaki dan wanita, sedangkan Quran mengajar kita persamaan antara kaum lelaki dan wanita. Pendek kata, pemimpin-pemimpin Pas tidak layak untuk mentadbirkan sebuah negara moden, kerana mereka tidak mempunyai sebuah falsafah politik Islam yang moden.

Ini semua bukan salah Islam, tetapi salah pimpinan Pas yang menyempitkan pemahaman Islam kepada pemikiran mereka yang amat terbatas.

Perkara-perkara yang kita sebut itu perlu dihuraikan kepada rakyat melalui buku, risalah, artikel syarahan dan ceramah.

Ini satu cabaran besar kepada pimpinan UMNO dan kepada cerdik pandai kita yang patriotik, kerana kebanyakan mereka selama ini, dari segi agama, menerima ajaran-ajaran 'ulama' (yang tidak banyak berbeza dari fahaman Pas) tanpa soal.

Walaupun ini satu cabaran besar, ia perlu dipikul sekarang, dan dipikul dengan berani dan penuh kesedaran dan tanggungjawab. Jika mereka gagal berbuat demikian, padahnya sangat berat. Ia boleh menyebabkan tanah air kita dijajah semula dan melupuskan ketuanan Melayu sama sekali.
Kita harap cerdik pandai Melayu yang berada dalam dan di luar UMNO, malah semua rakyat Malaysia yang patriotik, akan mengambil berat tentang perkara ini dan bertindak segera, mengikut apa yang kita cadangkan di atas.

Kritikan kita terhadap Pas tidak bermakna kita menganggap UMNO dan Barisan Nasional sempurna dan tidak ada cacat celanya. Tetapi cara kita membaiki kelemahan-kelemahan kita harus dibezakan dengan sikap musuh terhadap kita. Tujuan masuk (kaum penjajah baru) ialah meruntuh dan memusnahkan negara dan bangsa kita.

Oleh itu mereka mencerca pemimpin kita dengan membohong dan membuat fitnah tentang negara kita. Di sesetengah negara, mereka bertindak lebih ganas, mereka mengenakan sekatan dan membom negara itu. Kita tidak boleh melakukan terhadap bangsa kita seperti yang dilakukan oleh kaum penjajah baru! Pemimpin-pemimpin Pas yang mendakwa mereka memperjuangkan Islam sepatutnya menunjuk teladan yang baik kepada rakyat bagaimana hendak membaiki pemerintahan dan negara kita, dan bukan mencaci, membuat pembohongan dan menabur fitnah.

Mereka patut berusaha untuk menyatupadukan dan bukan memecah-belahkan rakyat. Kita menyeru kepada pemimpin-pemimpin Pas supaya insaf dan balik ke pangkuan bangsa dan ke pangkal jalan, dan jangan jadi alat kaum penjajah baru untuk menghancurkan bangsa kita.

0 comments:

Post a Comment

Apa kata Blogger