TemplateGoal

Mutakhir

Artikel Terkini

KESILAPAN NIK AZIZ

Wednesday, August 19, 2009

Pada pandangan saya, kesilapan pertama yang dilakukan oleh Haji Nik Aziz ialah beliau berijtihad di tempat yang ada nas. Ini menyalahi manhaj ijtihad yang disepakati oleh para ulama. Khalifah Umar Bin Abdul Aziz menyatakan: "Tidak boleh berijtihad apabila terdapat Sunnah Rasulullah S.A.W. Menurut Imam Syafiei: "Seluruh ulama telah ijma'(sepakat) mengatakan bahawa apabila terdapat Sunnah yang jelas daripada Rasulullah S.A.W., maka tidak harus sesiapa meninggalkan beramal dengan Sunnah tersebut untuk mengambil pendapat orang lain" (lihat Ibnu al-Qayyim, I'laam al-Muwaqqi'in jld. 4).

Kesilapan kedua ialah: Cara istidlal atau berdalil yang beliau gunakan tidak mengikut mana-mana kaedah yang diterima oleh para ulama mujtahid seperti yang terdapat dalam ilmu Usul alFiqh. Umat Islam dilarang menggunakan fikiran semata-mata tanpa mengikut kaedah yang sah dalam soal pengambilan hukum seperti yang dinyatakan oleh Rasulullah dalam sebuah Hadis yang bermaksud: "Umatku akan berpecah kepada lebih daripada tujuh puluh puak; yang paling besar kerosakannya ialah golongan yang memakai kias dalam menentukan agama dengan menggunakan fikiran mereka semata-mata. Melaluinya mereka mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah, dan menghalalkan apa yang diharamkan olehnya". Saidina Umar Bin al-Khattab berkata: "Sesungguhnya mereka yang menggunakan fikiran semata-mata (dalam menentukan hukum-hukum agama) merupakan musuh pada Sunnah. Mereka tidak mengetahui Hadis-Hadis dan tidak pula mengingatinya, Ialu mereka mengeluarkan pendapat dalam hukum agama dengan fikiran semata-mata" (Ibid, jld. 1).

Dalam menyokong fatwanya bahawa: "Islam tidak melarang umatnya mencarut asalkan kena pada tempatnya", beliau berhujah: "Allah sendiri gunakan perkataan memaki, mencemuh atau mencarut, jadi manusia sendiri berpeluang mengunakan maki hamun, tetapi terserahlah kepada manusia dimana tempatnya"(Utusan Malaysia, Rabu 28 April 1999). Ada beberapa pemerhatian yang ingin saya bangkitkan mengenai hujah tersebut. Pertamanya, kita Umat Islam diperintahkan mengikut apa yang disuruh dan menjauhi apa yang dilarang oleh Allah S.W.T.; bukan melakukan apa yang Allah lakukan. Dalil mengenainya terlalu banyak sama ada dalam Quran mahupun Sunnah dan diketahui umum. Sebelum ini saya telah memetik nas-nas yang jelas daripada Quran dan Sunnah yang melarang umat Islam memaki, mencarut dan mengucapkan kata-kata yang kotor.

Pemerhatian saya yang kedua ialah mengenai kaedah yang beliau gunakan, iaitu "manusia boleh melakukan apa yang Allah lakukan". Apa yang disebutkan itu tidak terdapat dalam kaedah-kaedah pengambilan hukum yang digunakan oleh para mujtahid. Menggunakan kaedah seperti ini boleh menjerumuskan seseorang ke lembah dosa besar, malah boleh membawa kepada syirik. Misalnya, dalam Quran Allah bersumpah dengan makhluk, seperti: "Demi masa", "Demi waktu fajar", "Demi matahari" dan sebagainya; sedangkan manusia dilarang bersumpah dengan mahkluk, malah ianya termasuk dalam dosa besar seperti yang dinyatakan dalam Sabda Nabi yang bermaksud: "Barang siapa bersumpah dengan yang lain daripada Allah, maka sesungguhnya ia telah melakukan perbuatan kufur dan syirik"(al-Tirmizi). AlQuran menerangkan bahawa: Allah menghalal dan mengharamkan sesuatu; menyembuhkan penyakit; memberi pemerintahan kepada orang yang dikehendakinya; memberi hidayat kepada orang yang dikehendakinya; memasukkan orang dikehendakinya ke dalam syurga atau ke dalam neraka dan seterusnya. Apakah manusia juga boleh melakukan perkara-perkara di atas kerana Allah boleh melakukannya? Tidakkah ini syirik namanya?

Dalam mempertahankan fatwanya, Haji Nik Aziz membawa sebuah Hadis yang bermaksud: "Berakhlaklah kamu dengan akhlak Allah". Penggunaan Hadis ini memperlihatkan bahawa fatwa telah dikeluarkan terlebih dahulu sebelum mencari dalilnya. Ini ialah kerana Hadis yang disebutkan itu bukan sahaja tidak menunjukkan keharusan mencarut, malah penggunaannya tanpa kefahaman yang betul boleh membawa satu kesalahan lain yang lebih besar. Hadis di atas perlu difahami bersama dengan sebuah Hadis lain yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah mempunyai seratus tujuh belas akhlak (sifat); sesiapa yang berakhlak dengan salah satu daripadanya, ia akan masuk syurga" (al-Baihaki dan al-Tirmizi). Imam Ghazali dalam kitabnya "al-Maqsid al-Asna Fi Syarh al-Asma' al-Husna" telah membuat huraian yang agak panjang tentang maksud kedua-dua Hadis ini, kerana kesalah fahaman tentang pengertiannya boleh membawa kepada syirik.

Menurut al-Ghali, maksud daripada Hadis di atas ialah: seseorang hamba itu hendaklah berusaha menghayati makna yang sesuai dengan makhluk daripada makna sifat-sifat Allah (al-Asma' al-Husna) supaya dengan itu ia dapat mencapai mertabat 'rabbaniy', yakni hampir dengan Allah. Misalnya, penghayatan seseorang hamba daripada sifat "Arrahim" ialah kasih sayang dan belas kasihan terhadap sesama makhluk. Oleh itu Hadis di atas sama sekali tidak boleh dijadikan dalil bagi keharusan mencarut atau memaki, kerana ini membawa makna bahawa antara akhlak atau sifat Allah itu ialah "Pencarut" dan "Pemaki" (Maha Suci Allah daripada sifat-sifat kekurangan yang tidak layak dengan keagungan, kebesaran dan kesempurnaanNya). Seperkara lagi yang menimbulkan kemusykilan ialah Haji Nik Aziz tidak menjelaskan tempat dan keadaan bagaimanakah seseorang itu diharuskan mencarut. Perkara ini perlu dijelaskan dan tidak boleh diserahkan kepada sesiapa sahaja menentukannya, kerana ia adalah masalah hukum syarak. Imam Ghazali ketika membicarakan mengenai hukum berdusta menjelaskan keadaan di mana seseorang itu harus berdusta dengan dalilnya sekali (lihat al-Ehya' jld. 3).

Oleh kerana fatwa beliau timbul daripada soalan tentang novel yang ditulis oleh Shannon Ahmad, dan novel tersebut jelas membicarakan suasana politik semasa; bolehkah kita mengatakan bahawa kata-kata maki hamun dan carut yang terdapat dalam novel tersebut ditujukan kepada golongan pemerintah yang ada pada hari ini ? Dan inikah tempat yang dikatakan mencarut dan memaki itu harus dalam Islam ? Maka bagi menguji kebenaran fatwa Haji Nik Aziz ini, kita perlu merujuk kitab-kitab yang ditulis oleh para ulama berasaskan Quran dan Sunnah dan mereka pula tidak terlibat dalam pertikaian politik semasa serta tidak juga menjadi pemimpin mana-mana parti politik.

Kini Nik Aziz mengeluarkan perintah mengatakan ahli UMNO tidak akan masuk syurga kerana membawa Islam ala Pelstin. Sekali lagi beliau melakukan kesilapan seperti dalam isu mencarut di atas.  Bertaubatlah!

0 comments:

Post a Comment

Apa kata Blogger

  • SELAMAT TAHUN BARU 2016 - Assalamualaikum semua pengikut KedahTimes. Selamat tahun baru masehi 2016. Moga dengan kedatangan 2016, kita berolehi kejayaan terutama dalam membangunkan...
    11 months ago
  • Umno kena kencing??? - *SOKONG MEMBAWA REBAH* Pakatan Rakyat telah berjaya mematahkan usaha-usaha UMNO untuk menarik sokongan institusi agama di negeri Selangor bagi menyokon...
    5 years ago