BUKTI MALAYSIA NEGARA ISLAM

Friday, September 23, 2011

Peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia: 

Perlembagaan Malaysia jelas memberikan kedudukan yang istimewa kepada Islam. Ini dapat dilihat seperti berikut: 

i.     Agama Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Perkara 3(1) dalam perlembagaan ini telah dihuraikan oleh beberapa tokoh undang-undang di Malaysia. Ada yang berpendapat peruntukan itu sekadar menjelaskan bahawa upacara rasmi negara bolehlah dijalankan mengikut Islam. Namun demikian Almarhum Prof. Tan Sri Ahmad Ibrahim telah menegaskan bahawa dengan adanya peruntukan Agama Islam ialah agama bagi Persekutuan, maka Malaysia boleh memperkenalkan dirinya sebagai negara Islam.

ii.    Yang Di Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu adalah ketua agama Islam. 
iii. Urusan pentadbiran Islam menjadi tanggunjawab Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan. 

Pandangan Ulama Mutabar: 
i. Memahami dan mengetahui pandangan beberapa ulama mengenai konsep negara Islam sangat penting, kerana kekeliruan dan keengganan untuk mengakui Malaysia Negara Islam adalah berpunca dari keengganan menerima pandangan-pandangan ini. Sebenarnya konsep negara Islam tidak terdapat di dalam nas yang jelas dari Al-Quran dan Al-Sunnah. 

ii. Konsep negara Islam hanya dibincangkan oleh ulama-ulama terkemudian. Jadi ia termasuk dalam perkara-perkara ijtihadiyyah iaitu hasil kefahaman ulama yang berkenaan mengenainya. 

iii. Ada berbagai difinisi yang diberikan oleh ulama mengenai negara Islam ini antaranya: 

- Muhammad bin Hasan as-Syaibani menyatakan : 

Negara yang dikuasai dan diperintah oleh umat Islam dan orang-orang Islam menikmati keamanan dan keselesaan di dalamnya. 

- Muhammad Abu Zuhrah menjelaskan: 

Negara yang berada di bawah kuasa pemerintahan orang Islam. Kekuatan dan pertahanannya dikuasai orang Islam. Negara sedemikian wajib dipertahankan oleh setiap individu muslim. 

- Menurut dari. Mohammad Said Ramadhan al-Butiy ketika membuat kesimpulan mengenai berbagai definisi negara Islam beliu menjelaskan bahawa pelaksanaan hukum-hukum syariah Islamiyyah bukanlah menjadi syarat untuk mengiktiraf sesebuah negera itu sebagai negara Islam. 

iv. Ini bermakna anggapan oleh pihak-pihak tertentu yang mengatakan bahawa pelaksanaan hukum hudud menjadi syarat bagi mengiktiraf sesebuah negara sebagai negara Islam adalah tidak tepat dan bercanggah dengan pegangan umum ulama mutabar. 

v. Dengan mengambil kira kepelbagaian difinisi tersebut dan keadaan yang wujud di Malaysia, maka konsep negara Islam dapatlah disimpulkan sebagai berikut: 

Negara Islam itu ialah negara yang dipimpin oleh orang Islam, dan orang Islam boleh melaksanakan tanggungjawab agamanya dengan aman, termasuklah memberi kebebasan kepada orang bukan Islam mengamalkan agama masing-masing. Dan setiap rakyat wajib mempertahankannya. 

vi. Berdasarkan penjelasan yang diberikan nyatalah bahawa Malaysia Negara Islam kerana ciri-ciiri utama yang ditetapkan oleh ulama wujud dan terlaksana di Malaysia. 

Pengiktirafan dunia: 
i.     Malaysia telah diiktiraf sebagai sebuah negara Islam dan telah menganggotai O.I.C sejak mula lagi. 
ii.    Pengiktirafan Malaysia Negara Islam contoh diberikan oleh negara Islam dan bukan Islam diseluruh dunia. 

Pelaksanaan Pentadbiran Negara: 
i. Asas pentadbiran Malaysia hari ini selaras dengan ajaran Islam. Sebagai contoh, dalam bidang perundangan berbagai usaha telah dijalankan untuk menyelaraskan antara undang-undang sivil dan syarak. Dalam bidang muamalat dan ekonomi terdapat sistem baru yang selaras dengan ajaran Islam telah dilaksanakan seperti Sistem Perbankan Islam, Takaful, Al Rahn dan sebagainya. 

ii. Selain dari itu dalam bidang pendidikan juga tidak ketinggalan disepadukan antara tuntutan ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah. Malah asas pembentukan syahsiah pegawai dan kakitangan kerajaan adalah dari nilai-nilai murni Islam. 

iii. Kesungguhan kerajaan menghayati ajaran Islam dapat dilihat dalam usaha-usahanya membebaskan umat Islam dari belenggu khurafat, tahayul dan ajaran sesat, dengan sentiasa memberikan penjelasan dan penerangan menerusi berbagai media. Di samping itu kerajaan juga sentiasa mengambil berat mempastikan makanan dan barang gunaan umat Islam di negara ini halal dan suci. Malah Malaysia merupakan negara Islam terulung dan terkemuka dalam menjaga aqidah, syariah dan akhlak umat Islam di dunia hari ini. 

iv.Antara bukti lain yang paling jelas menunjukkan Malaysia Negara Islam ialah penubuhan berbagai institusi yang berkaitan dengan pentadbiran Islam khususnya penubuhan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan Jabatan Mufti. 

Muzakarah Fatwa: 
i.     Setelah mengambil kira berbagai pandangan, hujah dan keadaan yang wujud di Malaysia, serta akibat buruk dari penolakan Malaysia sebagai negara Islam, maka Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 3-4 Februari 1986 telah mengambil keputusan bahawa Malaysia Adalah Sebuah Negara Islam. 

ii.     Kenyataan ini dengan jelas menolak anggapan kononnya Malaysia negara sekular kerana ciri-ciri sekularisma yang bermatalamatkan keduniaan semata sebagaimana yang difahami tidak wujud dalam falsafah dan pengurusan pentadbiran negara serta pegangan hidup rakyat Malaysia yang beragama Islam.

0 comments:

Post a Comment

Apa kata Blogger