PERJUANGAN YANG TIDAK KONSISTEN

Thursday, September 10, 2009

Jika kita bertanya kepada pemimpin PAS apakah pemikiran politk PAS yang mendokong perjuangannya untuk menegakkan negara Islam, mereka tidak dapat menjelaskannya. Ini ialah kerana mereka tidak mempunyai pemikiran politik yang dapat menjelaskan bagaimana sebuah negara Islam itu hendak dibina. Pada tahun-tahun 50 dan 60 an PAS mendokong nasionalisme Melayu dan Islam. Nasionalisme Melayu PAS dilihat sebagai ekstrim. PAS menentang UMNO, kerana menganggap nasinalisme Melayu UMNO tidak sempurna. UMNO tidak cukup Melayu kerana itulah PAS menentang UMNO. UMNO dianggap tidak cukup Melayu kerana menerima kemerdekaan yang terpaksa berkongsi kuasa dengan kaum lain dan menerima dasar kerakyatan Jussuli. Justeru itu kemerdekaan negara dianggap separuh masak. Perjuangan PAS untuk mendapatkan monopoli kuasa di tangan orang-orang melayu dilihat sebagai ekstrim. Tetapi itlah pemikiran politk PAS dengan kemelayuannya yang begitu tebal dan ekstim.

PAS bukan sahaja menganggap UMNO tidak sempurna kemelayuannya, kerana bekerjasama dan berkongsi kuasa dengan kaum-kaum lain. Bahkan dengan berdasarkan hujah-hujah agama, PAS memperkukuhkan kemelayuannya itu dengan fatwa agama bahawa bekerjasama dan berkongsi kuasa dengan orang-orang bukan Islam adalah haram dan membawa kepada kekufuran. UMNO bagi PAS bukan sahaja kurang Melayu, tetapi juga tidak sempurna Islam kerana bekerjasama dengan orang-orang bukan Islam dan berkongsi kuasa dengan mereka di dalam pemerintahn negara.

PAS menyertai Barisan Nasional selepas berlakunya peristiwa 13 mei 1969. Penyertaan PAS di dalam BN, ternyata bercanggah dengan pemikiran politiknya selama ini, yang melarang bekerjasama dengan bukan Islam dan tidak menerima konsep perkongsian kuasa. Berdasarkan kepada pemikiran politik PAS sebelum 13 mei, PAS turut menjadi kurang Melayu dan tidak sempurna Islamnya. Sepanjang berada dalam BN, PAS dengan imejnya sebagai Parti Melayu yang mendokong nasinalisme Melayu dan Islam, sudah tidak releven lagi. Ia menjadi lebih tidak relevan lagi apabila Dasar Ekonomi Baru dilancarkan. Dasar yang turut disokong oleh PAS sebagai anggota BN ini, merealisasikan agenda perjuangan Melayu dalam pembangunan negara untuk menegakkan agama, bangsa dan negara. Apabila PAS disingkirkan daripada Barisan Nasional pada tahun 1977 perjuangan Nasionalisme Melayu yang didokong oleh PAS, tidak bermakna lagi kerana agenda perjuangan Melayu itu diisi sepenuhnya oleh UMNO. Pada ketika ini, PAS berada di tahap paling lemah, di dalam sejarahnya.

PAS menyingkir Tan Sri Dato' Asri daripada kepimpinan PAS dan diambil alih oleh sekumpulan pemimpin muda yang menggelarkan diri mereka kepimpinan ulama. Di era kepimpinan ulama ini, PAS menggugurkan perjuangan kebangsaan melayu dan membina imejnya sebagai wadah perjuangan Islam tulin. Perjuangan kebangsaan melayu yang dilabelkan sebagai asobiyyah yang dilarang oleh Islam.

Demikianlah perjuangan PAS, yang tidak mempunyai pemikiran dan pendirian politik yang konsisten. Sesekali ia menjadi parti melayu yang ekstrim, kemudian bertukar menjadi parti liberal sehingga berubah pendiriannya yang menolak bekerjasama dengan kaum lain kepada bekerjasama serta menerima dasar-dasar yang ditentangnya. Setelah itu menggugurkan perjuangan kebangsaan melayunya dan mendokong pula perjuangan Islam yang kononnya adalah perjuangan Islam tulin. Kita lihat apakah yang dilakukan oleh PAS setelah lagi sekali menukarkan fikrah politiknya.

Setelah menolak nasionalisme Melayu yang menjadi pemikiran politiknya di tahun-tahun 50 dan 60an, dan setelah mengisytiharkan dirinya sebagai wadah perjuangan Islam tulin, PAS menumpukan kegiatannya ke arah pembinaan akidah. PAS tidak banyak membicarakan tentang persoalan ekonomi, sosial, pendidikan dan perundangan Islam, dibuat secara tohor dan umum. Ini ialah kerana keupayaan intelektual dan pengetahuan Islam dikalangan para pemimpin PAS amat terbatas dan mereka tidak mampu membincangkan isu-isu secara mendalam. Bahkan isu-isu Islam yang mereka berbicara secara lantang menyentuh hanya isu-isu popular yang mana hukumnya telah diketahui oleh kebanyakkan orang, seperti judi, arak dan lain-lain. Isu-isu ini lebih bertujuan mempromosikan dirinya sebagai Islam dan bukan iltizam PAS bagi menentang gejala kerosakan sosial itu.

0 comments:

Post a Comment

Apa kata Blogger