PAS DAN KHAWARIJ, DI MANA PERSAMAAN, DI MANA KELAINANNYA (BHG 1)

Monday, December 6, 2010

UNGKAPAN Khawarij kembali bergema. Para pengikut PAS mengumpamakan UMNO sebagai sebuah kumpulan Khawarij kerana menentang PAS yang konon-kononnya berperlembagaankan Al-Quran dan Sunnah. Manakala UMNO pula mengumpamakan PAS sebagai Khawarij kerana kecenderungan mereka untuk menentang serta mengusulkan pemberontakan secara senyap dengan menggunakan landasan demokrasi memandangkan UMNO adalah pihak kerajaan, manakala PAS pula menjadi pembangkang.

Ramai yang tidak tahu apa itu KHAWARIJ dan bagaimana sejarah KHAWARIJ serta signifikannya kumpulan ini dalam sejarah ketamadunan Islam.

Secara harfiahnya, KHAWARIJ bermaksud ‘mereka yang terkeluar’. Kali pertama gerakan ini muncul adalah pada penghujung abad ke-7 di kawasan selatan Iraq. Pada mulanya mereka merupakan kelompok orang Islam yang menyokong Syaidina Ali bin Abi Talib r.a. Namun akhirnya menolak kepimpinan Ali r.a. Khawarij ditanggapi secara berbeza daripada golongan Sunni dan Syiah.

Gerakan khawarij mula berakar umbi setelah pembunuhan Syaidina Uthman bin Affan r.a, khalifah Ar-Rasyidin ketiga. Pembunuhan tersebut mengakibatkan kaum keluarganya dari Bani Umayyah menuntut agar Syaidina Ali bin Abi Talib r.a yang diangkat menjadi khalifah Ar-Rasyidin keempat mengambil tindakan pantas terhadap pembunuh dan ahli-ahli komplot jenayah itu.

Bagaimanapun, Syaidina Ali r.a yang agak sibuk menguruskan negara yang mula berpecah belah angkara Abdullah bin Saba’, seorang Yahudi dan munafik yang menjadi dalang kepada pembunuhan Syaidina Uthman r.a, mengambil masa yang agak panjang untuk menyelesaikan maslahat berkenaan.

Umat Islam pada waktu itu terpecah akibat tiga bidang iaitu;

(1) Bidang politik
(2) Bidang aqidah
(3) Bidang syariat (penetapan hukum ibadah)

Keadaan semakin tegang apabila Bani Umayyah yang dipimpin oleh Muawiyyah bin Abi Sufyan yang mempunyai pertalian kekerabatan dengan Syaidina Uthman Affan r.a menuntut agar Syaidina Ali r.a mempercepatkan siasatan dan menjatuhkan hukuman untuk keseluruhan ahli keluarga pembunuh khalifah ketiga itu. Syaidina Ali r.a bagaimanapun tidak bersetuju, sebaliknya hanya ingin menghukum si pelaku pembunuhan itu sahaja, bukan keseluruhan keluarga atau puaknya.

Kesempatan itu dipergunakan dengan sebaik-baiknya. Khawarij segera berpihak kepada pasukan Syaidina Ali r.a dan mengacum-acum agar berlaku peperangan antara kumpulan Syaidina Ali r.a dengan kumpulan Muawiyyah bin Abi Sufyan r.a. Ternyata usaha mereka berhasil sehingga tercetusnya dua peperangan iaitu Perang Jamal dan Perang Siffin. Taktik khawarij ialah apabila pasukan Syaidina Ali r.a mahupun Muawiyyah bin Abi Sufyan lemah, mereka akan memerangi kedua-duanya dan merampas tampuk pemerintahan.

Sewaktu Perang Siffin, pasukan Muawiyyah bin Abi Sufyan hampir mengalami kekalahan. Lantas mereka segera mengangkat al Quran dalam apa yang dikenali sebagai Tahrim. Syaidina Ali r.a apabila melihat peristiwa tersebut segera mengarahkan pasukannya menghentikan serangan ke atas pasukan Muawiyyah r.a dan memutuskan untuk berdamai. Satu perjanjian dibuat dan atas kebijaksanaan atau lebih tepat lagi, tipu daya Amr Al-As, Syaidina Ali r.a kehilangan jawatan sebaliknya yang naik menjadi khalifah adalah Muawiyyah bin Abi Sufyan.

Ketika itulah, khawarij keluar daripada menyokong Syaidina Ali r.a. Mereka membuat perancangan untuk membunuh Syaidina Ali r.a, Muawiyyah r.a dan Amr Al-As. Bagaimanapun, mereka hanya berjaya membunuh Syaidina Ali r.a ketika menantu dan sepupu Nabi s.a.w itu sedang mengimamkan solat.

Itu adalah penglibatan aktif pertama khawarij dalam mengucar-ngacirkan Daulah Islamiyyah yang dibentuk oleh Nabi s.a.w daripada kesepaduan iman, dan kasih sayang antara umat Islam. Khawarij pada ketika itu sering berkumpul di suatu tempat yang disebut Khouro yang terletak di daerah Kufah sekaligus membuatkan mereka juga dikenali sebagai golongan Al-Khoruriyyah. Golongan khawarij bagaimanapun merujuk diri mereka sebagai ahl al-adl wal istiqama (golongan ahli keadilan dan kejujuran).

Secara umum, antara intipati ajaran utama golongan khawarij adalah;
1. Kaum muslimin yang melakukan dosa besar adalah kafir (bertentangan dengan pendapat golongan Muktazilah)
2. Kaum muslimin yang terlibat dalam Perang Jamal iaitu perang antara Syaidatina Aisyah r.a, Thalhah r.a, dan Zubair r.a menentang Ali bin Abi Talib r.a serta orang perantara (termasuk yang menerima dan membenarkannya) adalah kafir.
3. Khalifah harus dipilih rakyat serta tidak semestinya daripada keturunan Nabi Muhammad s.a.w dan tidak semestinya berketurunan Quraisy. Jadi, seorang muslim dari golongan mana pun boleh menjadi khalifah asalkan mampu memimpin dengan baik.

Khawarij sebenarnya terbahagi kepada 8 firqah besar yang daripada 8 firqah tersebut berpecah kepada beberapa firqah-firqah lain yang lebih kecil. Bagaimanapun, kesemua firqah Khawarij itu berkongsi beberapa persamaan:

(1) Persamaan pandangan tentang kepimpinan. Mereka sepakat bahawa khalifah hendaklah diserahkan secara mutlak kepada rakyat untuk memilihnya dan tidak ada keharusan dari segi kabilah atau keturunan tertentu seperti Quraisy atau keturunan Nabi s.a.w.

(2) Persamaan pandangan tentang aqidah. Mereka berpendapat bahawa perintahperintah agama adalah sebahagian daripada iman, bukan iman secara keseluruhan.

Suatu perkara yang sangat sinonim dengan khawarij ialah kecenderungan mereka untuk mengajak umat mengikut garis pemikiran mereka. Kaum khawarij juga sering menggunakan kekerasan dan pertumpahan darah. Paling nyata, mereka mudah menghukum seseorang agar kewujudan khawarij kurang ditentang atau dipersoalkan. Mereka juga cenderung dengan amalan takfir iaitu amalan mengkafirkan orang Islam yang lain yang tidak sealiran dengan mereka.

Mengikut tafsiran konvensional, hukum bagi mereka yang menjadi kafir (murtad) adalah bunuh. Dengan menggunakan tafsiran inilah, kaum Khawarij menghalalkan darah Syaidina Ali r.a dan Muawiyyah r.a untuk dibunuh.

Bersambung…

Terima kasih Perak Today

0 comments:

Post a Comment

Apa kata Blogger